Ahad, 24 Oktober 2021

CERDAS TAPI MERENDAHKAN ORANG LAIN





Guru-guru di SBP amat menitikberatkan prestasi akademik para pelajar. Jadi, setelah beberapa peperiksaan, para pelajar akan dibahagikan kepada beberapa kelompok. Kelompok cemerlang, kurang cemerlang dan tidak cemerlang. Natijahnya, layanan diberikan guru kepada setiap kelompok juga berbeza. 



Banyak kelebihan yang diberikan kepada top student berbanding bottom student. Misalnya, top student(tingkatan 5) ditempatkan di kelas yang berhawa dingin dan dilengkapi kemudahan mengakses internet di sebelah kelas. Manakala bottom student tidak. Selain itu, jika terdapat program-program di luar sekolah seperti program kerjaya dan sebagainya, guru lebih mengutamakan top student untuk mengambil bahagian. Berat sebelah bukan? 

Apabila berbeza kelompok dibahagikan, maka wujudlah program mentor-mentee. Setiap top student akan diberi tanggungjawab sebagai mentor kepada golongan yang lemah akademik. Segelintir mereka menganggap golongan lemah ini sebagai beban. 


Semasa di perhimpunan, pengetua akan membandingkan CGPA pelajar tahun-tahun lepas sebagai panduan kepada kami. Jika pada tahun tersebut kami mendapat pointer yang lebih rendah atau tidak mencapai standard, batch kami dianggap sebagai memburukkan nama atau prestasi sekolah.

Salah seorang kawan saya yang merupakan bottom student mengalami tekanan pada tahun akhirnya disitu. Segelintir pelajar top student sering menyalahkan dia sebagai pemburuk nama batch. Mereka juga mempengaruhi rakan-rakan lain untuk berfikiran seperti mereka. Oleh itu, kawan saya sering dipandang rendah orang lain termasuk para guru.



Saya melihat kawan saya menangis di tepi tangga yang sunyi di asrama. Dari situlah kami mula rapat dan menjadi sahabat. Bagi saya tidak perlulah kita menuding jari kepada orang lain. Setiap manusia mempunyai kelebihan dan kekurangan masing-masing. Kawan saya sudah berusaha sehingga tiada masa untuk berehat makan sepanjang sesi pembelajaran. Tetapi resultnya seperti itu juga.

Sikap persaingan antara pelajar di SBP boleh menjurus kepada persaingan yang tidak sihat. Ianya boleh mempengaruhi kesejahteraan, kesihatan mental, emosi, sosial dan psikologi. Semuanya bermula dari pembahagian kelompok pelajar dan layanan yang tidak sama rata diberikan dari guru.

BEBERAPA KELEBIHAN MEMASUKI SBP

 Berikut merupakan beberapa kelebihan yang saya dapati di sekolah berasrama penuh: 



1. KEPIMPINAN

Majoriti sekolah-sekolah pada pembelajaran abad-21 telah mengaplikasikan banyak elemen yang memberi kesan positif kepada murid. Di SBP, hampir keseluruhan aktiviti di kelas mahupun luar kelas mereka amat menekankan sifat kepimpinan dan kesukarelaan.

Kesannya, sikap ini dapat memupuk minda pelajar supaya lebih berani untuk bercakap di khalayak ramai. Lantas menjadi lebih aktif dalam sesuatu tugasan. Ianya juga akan memberi manfaat setelah mendapat pekerjaan kelak untuk berkomunikasi dengan orang ramai. 



2. PENJAGAAN MASA

Benar jadual di SBP amatlah ketat dan padat. Ianya mengajar saya untuk lebih menghargai serta memanfaatkan masa yang diperolehi. 

Seawal 6 pagi, seluruh asrama hendaklah dikosongkan dengan lengkap berbaju sekolah. Di akhiri dengan prep/kelas malam pada pukul 11 malam. Mungkin tidak semua SBP, ini hanyalah pengalaman saya. Maka, terbentuklah individu yang menepati masa. Di alam pekerjaan, menepati masa adalah perkara yang sangat penting bukan sahaja  melibatkan prestasi malah pemotongan gaji.



3. AGAMA

Wajib untuk solat berjemaah dan menyertai program agama setiap kali dianjurkan. Pada waktu pagi sebelum subuh, petang sebelum maghrib dan malam sebelum tidur kebiasaanya, surau/masjid akan memainkan rakaman ayat-ayat suci. Membuatkan saya dapat terhafal dengan sendirinya.

Bukan itu sahaja, para pelajar dapat banyak ilmu feqah dan sebagainya dari ceramah-ceramah yang dibentangkan. Hampir setiap minggu menjemput ustaz-ustaz dari luar, wakil guru juga ada memberi perkongsian berkaitan agama. Badan kebajikan Islam sekolah juga aktif dalam aktiviti keagamaan. Impaknya, individu dapat mempelajari asas agama yang betul dan lancar dalam surah-surah yang umum di dalam Al-Quran.


4. BIASISWA

Secara umum penubuhan asalnya SBP adalah untuk memberi peluang kepada murid luar bandar yang kurang berkemampuan untuk mendapat pendidikan yang lebih sempurna dan selesa. 

Saya serta kawan-kawan yang kurang berkemampuan menerima dua bentuk biasiswa iaitu Projek Khas (PK) dan Bantuan Khas Pelajar (BKP). Bersyukur kepada Allah dengan bantuan yang dibekalkan, kami dapat membeli buku tambahan, membayar yuran sekolah dan membeli barang peribadi. 

Kepada golongan yang kurang berkemampuan ingin memasuki SBP, jangan risau boleh rujuk kepada guru kaunseling berkenaan bantuan biasiswa. Kebiasaannya, apabila mendapat surat tawaran ke SBP, telah dinyatakan sama ada pelajar mendapat bantuan biasiwa atau tidak.

Sabtu, 23 Oktober 2021

PERTAMA KALI MEMASUKI SBP

 

 

" Pandainye anok ko masuk sekoloh asrama penuh." kata orang kampung kepada mak.
           "Adik sekolah sains? Amboi budak pandai ni." kata orang dewasa kepada aku. 

Inilah kata-kata yang acap kali didengarkan pada tahun pertamaku di tingkatan satu. Tipulah jika tidak berbangga mesti ada sedikit tercetus dihati tetapi perasaanku berbaur dengan sedih dan takut. Sedih kerana jauh dari kampungku harus menaiki bas untuk pulang ke rumah dan asrama. Berasa takut kerana ingin menyesuaikan diri di tempat baru dan orang baru.




Buli adalah satu perkara yang tidak lari dari zaman persekolahan. Baik sekolah berasrama mahupun sekolah harian. Tetapi SBP ada juga kes buli? Kedengaran seperti sekolah elit dan bagus mesti segelintir bersangka hal itu tidak akan terjadi kerana para guru SBP akan mengatasi kes ini secara profesional. Detik inilah bermulanya mimpi burukku di SBP yang megah itu. Ia memberi kesan buruk yang dalam kepada aku selama 5 tahun disitu.



Kepada para ibu bapa, jika anak anda adalah mangsa buli walaupun tidak bersekolah di asrama penuh, ambil lah tindakan yang sewajarnya bagi memastikan persekitaran sekolah yang selamat . Rujuk kepada guru kaunseling atau pindahkan anak ke sekolah yang lebih dekat. Walaupun sekadar buli mental bukan fizikal ianya akan memberi sedikit sebanyak kesan kepada pembelajaran dan pergaulan anak.

Tetapi pada tahun akhir saya di SBP, sekolah telah mencapai sifar buli kerana apabila kami senior, kami tidak mengulangi sikap buruk pelajar terdahulu. Jadi, untunglah kut, junior pada tahun kami menjadi senior. 


Kepada adik-adik, jika mengalami masalah seperti saya tidak terlambat lagi untuk membuat keputusan demi masa depan. Pindah dari SBP ke sekolah harian biasa bukanlah satu hal yang rugi. Berdasarkan sebahagian pelajar dari batch saya, pindah ke sekolah biasa mereka dapat belajar lebih selesa dan gembira. Lalu menghasilkan pencapaian yang lebih bagus dari di SBP.


Saya tidaklah menceritakan keburukan SBP atau menggalakkan tidak memasuki SBP. Ini hanyalah pengalaman serta pendapat yang dilalui penulis bagi mereka yang mengalami masalah yang sama. Yang tiada masalah, bersyukur dan belajarlah bersungguh-sungguh kerana SBP juga banyak kelebihannya yang akan saya ceritakan di post yang lain. Sekian. Assalamualaikum. 

CERDAS TAPI MERENDAHKAN ORANG LAIN

Guru-guru di SBP amat menitikberatkan prestasi akademik para pelajar. Jadi, setelah beberapa peperiksaan, para pelajar akan dibahagikan kepa...